Friday 31 August 2012

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Tersebutlah kisah dahulu kala,
Tanah Melayu belum Malaysia,
di sebuah tempat Padang namanya,
jajahan Johor sudahlah lama.


Anak Bugis dan anak Melaka,
duduk setempat berkongsi rasa,
Penghulu Pabitah ketua mereka,
Orang Kaya Aris dihormat semua.


Seorang pemuda namanya Awang,
elok lakunya disayang orang,
sangat berani berhati garang,
handal bersilat mengalah pantang.


Awang dan Dayang jadi tunangan,
tigalah tahun sudah tetapkan,
wang belanja lelaki sediakan,
kain mastuli syarat pernikahan.


Demi memikul tuntutan adat,
Awang merantau menyeberang selat,
wajahnya Dayang di jiwa tersemat,
mengharap jodoh bersatu selamat.


Dayang berjanji setia menunggu,
Awang ‘kan pulang untuk bersatu,
ayah dan bonda memberi restu,
harapan Dayang cinta berpadu.


Hari berlalu tahun berganti,
kasih dirindu terus dinanti,
Awang di rantau hanya menyepi,
Dayang gelisah bimbang sekali.


Fitnah nan palsu mula tersebar,
Bacuklah orang pembuat onar,
kerana dengki dan kurang ajar,
ingin merampas si bunga mekar.


Putuslah ikatan Dayang dan Awang,
Bacuk pun datang masuk meminang,
sanggup berhutang keliling pinggang,
ingin miliki sri gadis Padang.


Pulangnya Awang dengan harapan,
segala syarat sudah dipenuhkan,
namun disambut berita kejutan,
gadis idaman bertukar tangan.


Remuknya hati hajat tak sampai,
janji terpateri telah dilerai,
marah merusuh dendam tersemai,
panas di dada tuntut dirungkai.


Sepasang lembing jantan betina,
pusaka Bugis pemberian raja,
diasam Awang ikut caranya,
buat pelihara adat senjata.


Sampailah masa orang berarak,
Awang pun nekad hendak bertindak,
lembing di tangan terus meradak,
Bacuk tersungkur darah membuak.


Awang berlari dendam terbalas,
lembing keramat terbiar bebas,
terbang sendiri membunuh nafas,
siapa yang dekat tidak terlepas.


Ayahnya Dayang turut terkorban,
lembing betina memang kelaparan,
darah lelaki jadi santapan,
di tangan Dayang tiba pengakhiran.


Lembing Awang pulang ke Dayang,
kisah lagenda sebutan orang,
menurut nafsu membawa malang,
harusnya akal diambil timbang.

dari LINTASAN HATI

No comments:

Post a Comment